TATA CARA BERDOA

Berdoalah kepada Tuhanmu dengan berendah diri dan suara yang lembut. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas

Kamis, 21 April 2011

MEMBUMIKAN ALQURAN


Ungkapan “membumikan al-Quran” secara implisit membawa makna bahawa al-Quran kini masih “melangit” sehingga ia perlu dibumikan. Tentunya dalam pengertian hakikinya, al-Quran sebenarnya telah sepenuhnya “membumi” apabila Allah s.w.t menurunkan ayat al-Quran yang terakhir kepada Rasulullah s.a.w. Maka yang dimaksud dengan ungkapan “membumikan al-Quran” sebenarnya adalah
maknanya secara metafora atau kiasannya.

Dalam makna metaforiknya, perkataan “membumikan al-Quran” mengisyaratkan “jauhnya’ al-Quran daripada kenyataan kehidupan yang kita hadapi atau jalani. Walhal secara idealnya al-Quran itu dekat dengan kita. Dekat dengan kehidupan kita di sini, dan ketika ini.

Jadi “membumikan al-Quran”‌ mengandungi pengertian adanya daya usaha untuk mewujudkan ‘yang jauh’‌ menjadi ‘yang dekat’‌, yakni mendekatkan dua keadaan yang berbeza, keadaan ideal al-Quran di satu sisi, dan keadaan nyata kehidupan umat di sisi lain.

Secara umum, pengertian “membumikan al-Quran”: sebagai umat Islam, kita perlu menelaah mengenai isi kandungan al-Quran, dapat membaca, memahami, dan menafsirkan, serta mengamalkannya.

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “Katakan (wahai Muhammad): “Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan Al-Quran ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan yang sebanding dengannya, walaupun mereka bantu-membantu sesama sendiri.” (al-Israa’: 88)

Walaupun al-Quran menjadi bukti kebenaran Nabi Muhammad s.a.w, tetapi fungsi utamanya adalah menjadi “petunjuk untuk seluruh umat manusia.”

Petunjuk yang dimaksud adalah petunjuk agama atau yang biasa juga disebut sebagai syariat. Syariat, dari segi pengertian kebahasaan, bererti “jalan menuju sumber air”. Jasmani manusia, bahkan seluruh makhluk hidup, memerlukan air, demi kelangsungan hidupnya. Rohaninya pun memerlukan “air kehidupan”. Di sini, syariat mengantarkan seseorang menuju “air kehidupan” itu.

Kebenaran al-Quran – Agama Islam, agama yang kita anut dan dianut oleh ratusan juta umat manusia di seluruh dunia, merupakan way of life yang menjamin kebahagiaan hidup pemeluknya di dunia dan di akhirat kelak. Ia mempunyai satu sendi utama yang intupatinya: berfungsi memberi petunjuk ke jalan yang sebaik-baiknya.

Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang benar (agama Islam), dan memberikan berita yang mengembirakan orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal salih, bahawa mereka beroleh pahala yang besar.” (al-Israa’: 9)

Al-Quran memberikan petunjuk dalam persoalan-persoalan akidah, syariah, dan akhlak, dengan jalan meletakkan dasar-dasar prinsip mengenai persoalan-persoalan tersebut; dan Allah s.w.t menugaskan Rasulullah s.a.w untuk memberikan keterangan yang lengkap mengenai dasar-dasar itu, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “(Kami utuskan Rasul-rasul itu) membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang membuktikan kebenaran mereka) dan Kitab-kitab Suci (yang menjadi panduan); dan Kami turunkan pula kepadamu (wahai Muhammad) al-Quran yang memberi peringatan, supaya engkau menerangkan kepada umat manusia akan apa yang telah diturunkan kepada mereka, dan supaya mereka memikirkannya.” (al-Nahl: 44)

Disamping keterangan yang diberikan oleh Rasulullah s.a.w. Allah s.w.t memerintahkan pula kepada umat manusia seluruhnya agar memperhatikan dan mempelajari al-Quran sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “(Setelah diterangkan yang demikian) maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran al-Quran)?” (Surah Muhammad: 24)

Mempelajari a-Quran adalah wajib.

Berikut ini beberapa prinsip dasar untuk memahaminya, khusus dari segi hubungan al-Quran dengan ilmu pengetahuan. Atau, dengan kata lain, mengenai “memahami al-Quran dalam Hubungannya dengan Ilmu Pengetahuan.” (Persoalan ini amat penting, terutama pada masa-masa sekarang ini, di mana perkembangan ilmu pengetahuan sedemikian pesat dan meliputi seluruh aspek kehidupan)

Kekaburan mengenai hal ini dapat menimbulkan ‘penemuan-penemuan’ yang mempengaruhi perkembangan pemikiran kita dewasa ini dan generasi-generasi yang akan datang. Dalam bukunya, Science and the Modern World, A.N. Whitehead menulis: “Apabila kita menyedari betapa pentingnya agama bagi manusia dan betapa pentingnya ilmu pengetahuan, maka tidaklah berlebihan apabila dikatakan bahawa sejarah kita yang akan datang bergantung kepada keputusan generasi sekarang mengenai hubungan antara kedua-duanya.”

Tulisan Whithead ini berdasarkan apa yang terjadi di Eropah pada abad ke-18, yang ketika itu, gereja/pendeta di satu pihak dan para ilmuwan di pihak lain, tidak dapat mencapai kata sepakat tentang hubungan antara Kitab Suci dan ilmu pengetahuan; tetapi agama yang dimaksudkannya (yakni Islam) dapat mencakup segenap keyakinan yang dianut manusia.

Demikian juga halnya bagi umat Islam; pengertian kita terhadap hubungan antara al-Quran dengan ilmu pengetahuan akan memberi pengaruh yang besar terhadap perkembangan agama dan sejarah perkembangan manusia pada generasi-generasi yang akan datang.

Kebenaran al-Quran – Al-Quran adalah kitab petunjuk, demikian hasil yang kita peroleh daripada mempelajari sejarah turunnya al-Quran. Ini sesuai pula dengan penegasan Allah s.w.t menerusi firman-Nya yang bermaksud: … yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah… (al-Baqarah: 185)

Jika demikian, apakah hubungan al-Quran dengan ilmu pengetahuan? Berkaitan dengan hal ini, perselisihan pendapat para ulama sudah lama berlangsung. Dalam kitabnya Jawahir al-Quran, Imam Al-Ghazali menerangkan pada bab khusus bahawa seluruh cabang ilmu pengetahuan yang terdahulu dan yang kemudian, sama ada yang telah diketahui mahupun yang belum, semua bersumber daripada al-Quran al-Karim. Al-Imam Al-Syathibi (m. 1388 M), tidak sependapat dengan Al-Ghazali. Dalam kitabnya, Al-Muwafaqat, beliau antara lain berpendapat bahawa para sahabat tentu lebih mengetahui al-Quran dan apa-apa yang terkandung di dalamnya, tetapi tidak seorang pun di antara mereka yang menyatakan bahawa al-Quran mencakupi seluruh cabang ilmu pengetahuan.

Bagaimanapun, perlu diingat bahawa membahas hubungan al-Quran dengan ilmu pengetahuan bukan dinilai dengan banyaknya cabang-cabang ilmu pengetahuan yang terkandung di dalamnya, bukan pula dengan menunjukkan kebenaran teori-teori ilmiah. Tetapi pembahasan hendaknya diletakkan pada kedudukan atau sisi yang lebih tepat dan sesuai dengan kemurnian dan kesucian al-Quran dan sesuai pula dengan logik ilmu pengetahuan itu sendiri.

Membahas hubungan antara al-Quran dengan ilmu pengetahuan bukan dengan melihat, misalnya, adakah teori relativiti atau perbahasan tentang angkasa atau ilmu komputer terkandung di dalam al-Quran; tetapi yang lebih utama adalah melihat adakah jiwa ayat-ayatnya mendorong kemajuan ilmu pengetahuan atau sebaliknya, serta adakah satu ayat al-Quran yang bertentangan dengan hasil penemuan ilmiah yang telah mantap? Dengan kata lain, meletakkannya pada sisi social psychology (psikologi sosial), bukan pada sisi history of scientific progress (sejarah perkembangan ilmu pengetahuan). Anggaplah bahawa setiap ayat daripada keseluruhan 6,226 ayat yang terkandung dalam al-Quran (menurut perhitungan ulama Kufah) mengandungi suatu teori ilmiah, kemudian apa hasilnya? Apakah manfaat yang diperoleh dengan mengetahui teori-teori tersebut apabila masyarakat tidak diberi “hidayah” atau petunjuk bagi kemajuan ilmu pengetahuan atau menyingkirkan hal-hal yang menghalangnya?

Malik bin Nabi di dalam bukunya Intaj Al-Mustasyriqin wa Atsaruhu fi Al-Fikriy Al-Hadits, menulis: “Ilmu pengetahuan adalah sekumpulan masalah serta sekumpulan metode yang dipergunakan menuju tercapainya masalah tersebut.”

Selanjutnya beliau menerangkan: “Kemajuan ilmu pengetahuan bukan hanya terbatas dalam bidang-bidang tersebut, tetapi bergantung pula pada sekumpulan syarat-syarat psikologi dan sosial yang mempunyai pengaruh negatif dan positif sehingga dapat menghalang kemajuan ilmu pengetahuan atau mendorongnya lebih jauh.”

Ini menunjukkan bahawa kemajuan ilmu pengetahuan tidak hanya dinilai dengan apa yang dipersembahkannya kepada masyarakat, tetapi juga diukur dengan wujudnya suatu suasana yang dapat mendorong kemajuan ilmu pengetahuan itu.

Sejarah membuktikan bahawa Galileo, ketika mengungkapkan penemuannya bahawa bumi ini beredar, tidak dikawal daripada suatu lembaga ilmiah. Bagaimanapun, masyarakat di sekelilingnya ketika itu menentang penemuannya itu atas dasar-dasar kepercayaan dogma, sehingga Galileo akhirnya menjadi ‘korban penemuannya sendiri’. Hal ini adalah akibat belum terwujudnya syarat-syarat sosial dan psikologi yang disebutkan di atas. Dari segi inilah kita dapat menilai hubungan al-Quran dengan ilmu pengetahuan.

Di dalam al-Quran terkandung ayat-ayat yang menganjurkan untuk mempergunakan akal fikiran dalam memahami dan melakukan sesuatu perkara. Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Dia juga yang menyempitkan (bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya); akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu).” (Surah Saba’: 36)

Dari sejarah diturunkannya al-Quran, dapat diambil kesimpulan bahawa al-Quran mempunyai tiga tujuan utama:

Petunjuk akidah dan kepercayaan yang harus dianut oleh manusia yang tersimpul dalam keimanan akan keesaan Tuhan dan kepercayaan akan kepastian adanya hari pembalasan.
Petunjuk mengenai akhlak yang murni dengan jalan menerangkan norma-norma keagamaan dan susila yang harus diikuti oleh manusia dalam kehidupannya secara individual atau kolektif.
Petunjuk mengenal syariat dan hukum dengan jalan menerangkan dasar-dasar hukum yang harus diikuti oleh manusia dalam hubungannya dengan Tuhan dan sesamanya. Atau dengan kata lain yang lebih singkat, “Al-Quran adalah petunjuk bagi seluruh manusia ke jalan yang harus ditempuh demi kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.”
Al-Quran dijadikan sebagai asas bagi membina pemikiran dan minda untuk menjayakan kehidupan dunia dan akhirat demi untuk membentuk masyarakat yang maju bagi membentuk generasi al-Quran. Generasi yang dibentuk dengan acuan al-Quran adalah generasi yang berjaya membentuk dan menanam unsur-unsur takut kepada Allah, membina jiwa berani, merdeka dan bebas. Matang di dalam memberikan buah fikiran dan membuat keputusan, sentiasa melahirkan idea-idea yang bernas dan membina.

Pemikiran yang bersifat menyeluruh akan membentuk minda yang sempurna dan bijaksana di samping memantapkan keimanan. Minda yang positif bersikap tidak putus asa terhadap rahmat Allah, tidak sombong dan lupa diri apabila diberi kejayaan, kerana itu semua adalah dari Allah. Inilah minda quranik. Minda yang mempengaruhi pembentukan akhlak yang tinggi, melahirkan semangat pengorbanan dan tidak pentingkan diri sendiri.

Kesimpulannya:

1. Al-Quran adalah kitab hidayah yang memberikan petunjuk kepada manusia seluruhnya dalam persoalan-persoalan akidah, tasyrik, dan akhlak demi kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.

2. Tiada pertentangan antara al-Quran dengan ilmu pengetahuan.

3. Memahami hubungan al-Quran dengan ilmu pengetahuan bukan dengan melihat adakah teori-teori
ilmiah atau penemuan-penemuan baru tersimpul di dalamnya, tetapi dengan melihat adakah al-
Quran atau jiwa ayat-ayatnya mendorong kemajuan ilmu pengetahuan.

4. Membenarkan atau menyalahkan teori-teori ilmiah berdasarkan al-Quran bertentangan dengan
tujuan pokok atau sifat al-Quran dan bertentangan pula dengan ciri khas ilmu pengetahuan.

5. sebab-sebab meluasnya penafsiran ilmiah (pembenaran teori-teori ilmiah berdasarkan al-Quran)
adalah akibat perasaan rendah diri di kalangan masyarakat Islam dan akibat pertentangan
antara golongan gereja (agama) dengan ilmuwan yang diragukan akan terjadi pula dalam
lingkungan masyarakat Islam, sehingga cendekiawan Islam berusaha dan berjaya memperlihatkan
secara jelas akan hubungan antara al-Quran dengan ilmu pengetahuan.

6. Memahami ayat-ayat al-Quran sesuai dengan penemuan-penemuan baru adalah ijtihad yang murni,
selagi fahaman tersebut tidak ‘muncul’ sebagai akidah Quraniyyah dan tidak bertentangan
dengan prinsip-prinsp atau ketentuan bahasa.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar